Metodologi Kajian

3.1 Pengenalan

Tujuan metodologi penyelidikan digunakan adalah untuk memperolehi data yang bersesuaian dengan supaya kajian ini dapat diteruskan ke langkah yang seterusnya. Bab ini akan menerangkan tentang pihak yang akan dikaji, iaitu responden kajian; kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data kajian daripada reponden seperti soal selidik, temubual, pemerhatian dan sebagainya; dan cara untuk menganalisis data yang diperolehi daripada reponden tadi, iaitu dengan menggunakan laman web dan perisian yang bersesuaian seperti SoundCloud, SurveryMonkey, AntConc dan sebagainya. Untuk kajian ini, data yang ingin diperolehi adalah sebutan bahasa Korea oleh kedua-dua responden.

3.2 Pemilihan alat kajian

Oleh kerana kajian ini bersifat kualitatif, di mana melibatkan jumlah responden yang sedikit – sekadar 2 orang. Alat kajian yang akan digunakan ialah temubual, soal selidik dan perbandingan antara sebutan penutur jati bahasa Korea dengan sebutan penutur bukan jati.

Temubual digunakan untuk mendapatkan data-data sebutan daripada kedua-dua responden. 2 orang responden ini memiliki latar belakang yang berbeza. Responden pertama ialah seorang pelajar berusia 23 tahun dari Chonnam National University yang sedang menyertai program pertukaran pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik. Beliau ialah penutur jati Bahasa Korea. Responden kedua pula ialah seorang pelajar berusia 21 dari Universiti Putra Malaysia yang telah menyertai program pertukaran pelajar di Chonnam National University pada tahun 2013.  Beliau adalah penutur jati Bahasa Melayu dan tidak pernah mempelajari Bahasa Korea sebelum menyertai program pertukaran pelajar berkenaan. Untuk memperolehi data daripada kedua-dua responden, mereka akan diberikan sebuah teks dalam bahasa Korea. Mereka akan membaca teks berkenaan dan bacaan mereka akan dirakam dengar menggunakan perakam audio. Seterusnya, rakaman audio tadi akan dimuatnaik ke laman pengurusan audio SoundCloud. Pautan kepada audio tadi akan diletakkan di laman blog WordPress. Proses ini dilakukan kerana WordPress mempunyai kebolehadaptasian yang tinggi untuk menyokong sebarang pautan audio dari SoundCloud.

Seterusnya, rakaman audio tadi akan ditranskripsikan dan dimuatnaik ke laman blog WordPress. Untuk proses transkripsi fonetik, carta IPA bahasa Korea dari Speech Accent Archive – George Mason University akan digunakan sebagai rujukan. Dengan adanya transkripsi fonetik ini, proses mengenalpasti perbezaan sebutan antara penutur jati Bahasa Korea dengan penutur tidak jati boleh dilakukan. Untuk memudahkan pelawat blog WordPress memahami kajian, salinan asal teks yang dibaca oleh kedua-dua respondan juga akan dimuat naik ke blog WordPress. 3 variasi teks tersebut akan dimuat naik, iaitu:

1) Teks asal dalam bahasa Korea

2) Versi romawi kepada teks asal bahasa Korea

3) Terjemahan teks dalam Bahasa Melayu.

gmu

“Speech Accent Archive” yang diselia oleh George Mason University

Soal selidik digunakan untuk memperkukuhkan kesahihan dan kebolehpercayaan data-data yang diperoleh daripada kedua-dua responden. Soal selidik yang akan digunakan mengandungi 10 soalan dan dibuat menggunakan laman soal selidik atas talian SurveyMonkey. SurveyMonkey digunakan supaya responden boleh melengkapkan borang soal selidik secara atas talian, yang mana cara ini lebih mudah dan efektif untuk mengumpul data soal selidik.

3.3 Prosedur pengumpulan data

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah rakaman sebutan, soal selidik, dan set perbandingan antara bahasa Korea dan bahasa Melayu.

  1. Rakaman
  • Responden akan membaca teks yang telah disediakan.
  • Bacaan daripada responden akan dirakam menggunakan perakam audio.
  • Rakaman tersebut akan dirujuk untuk membuat transkrip teks.
  • Selepas transkrip teks dibuat, ia akan dipaparkan di laman blog.
  • Selain transkripsi teks, teks-teks yang akan dipaparkan di blog adalah:
  • Teks asal dalam bahasa Korea
  • Versi romawi kepada teks asal bahasa Korea
  • Terjemahan teks dalam Bahasa Melayu.
  1. Soal Selidik.
  • Satu set borang soal selidik akan dibuat menggunakan SurveyMonkey.
  • Soal selidik tersebut adalah berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci daripada responden supaya identiti kedua-dua responden dan kebolehpercayaan mereka dalam kajian ini dapat disahihkan.
  • Setelah responden-responden menjawab soal selidik, jawapan mereka akan dikumpul dan kemudian dikaji.
  1. Set Perbandingan
  • Carta IPA bahasa Korea dan bahasa Melayu akan digunakan.
  • Sebutan kedua-dua responden akan dirujuk kepada carta IPA ini.
  • Sebarang perbezaan yang wujud di antara sebutan kedua-dua responden akan diambil kira untuk tujuan analisis.

3.4 Prosedur analisis data

Bacaan responden akan dirakam menggunakan perakam suara. Sekiranya perlu, rakam berkenaan akan diedit dengan menggunakan perisian Audacity. Rakaman audio yang telah siap diedit akan dimuatnaik ke laman web SoundCloud sebelum dipaparkan di laman blog WordPress.  Transkripsi fonetik untuk rakaman berkenaan akan dibuat, satu untuk sebutan penutur jati bahasa Korea dan satu lagi untuk penutur bukan jati. Kemudian, kedua-dua transkripsi ini akan dibandingkan dan sebarang perbezaan yang dapat dilihat akan diambil kira untuk tujuan analisis. Selain transkripsi teks, teks-teks yang akan dipaparkan di blog adalah:

  • Teks asal dalam bahasa Korea
  • Versi romawi kepada teks asal bahasa Korea
  • Terjemahan teks dalam Bahasa Melayu.

Ini adalah untuk memudahkan pelawat yang tidak tahu membaca sistem tulisan Hangul dan transkripsi fonetik supaya mereka boleh membaca dan memahami teks yang telah dipaparkan.

3.5 Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kajian ini memerlukan penggunaan alat yang bersesuaian dengan tajuk yang ingin dikaji.  Penggunaan kaedah kajian yang bersesuaian amat penting agar hasil kajian yang diperolehi selaras dengan objektif dan soalan kajin. Ia juga penting supaya kesahihan kajian tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak lain. Selain itu, pemilihan responden yang tepat akan memudahkan proses melakukan kajian. Pemilihan metodologi dan responden kajian adalah suatu aspek yang perlu diberi perhatian khusus kerana kedua-dua faktor ini merupakan elemen utama yang akan menentukan sama ada kajian ini berjaya atau tidak. Dalam Bab 4, semua data yang telah diperolehi menggunakan metodologi ini akan dianalisis dengan teliti.