Nota Kuliah

Sebagai bantuan untuk menyiapkan blog bagi kursus SKBL2113 Aplikasi Komputer dalam Kajian Linguistik, beberapa sesi kuliah telah diadakan untuk menyampaikan maklumat yang berkaitan dengan kursus ini kepada pelajar. Kuliah-kuliah tersebut disampaikan oleh Dr. Zulkifli Bin Ahmad secara multimedia, di mana salinan untuk bahan-bahan kuliah berkenaan boleh diakses dan dimuat turun oleh pelajar-pelajar melalui laman web portal pelajar UKM iaitu iFolio.   Tajuk-tajuk kuliah yang telah disampaikan adalah seperti berikut:

  •  Panduan menggunakan AntConc

Kuliah ini membincangkan cara-cara penggunaan perisian concordance, seperti AntConc. Concordance merupakan kajian berdasarkan teks (juga dikenali sebagai “korpus) yang telah dibina secara khusus mengenai sesuatu bidang dan AntConc ialah perisian yang digunakan untuk memudahkan kajian korpus berkenaan. Perisian ini menunjukan kekerapan penggunaan perkataan dalam sesebuah korpus, senarai perkataan yang digunakan, dan kolokasi teks, iaitu kedudukan sesuatu perkataan dan perkataan yang bersebelahan dengannya dalam frasa atau ayat. Dengan adanya kuliah ini, pelajar dapat mengetahui kaedah untuk menggunakan AntConc dengan lebih terperinci.

  • CALL

CALL, atau nama penuhnya Computer Assisted Language Learning,  adalah perbincangan tentang kaedah untuk meningkatkan kemahiran dalam proses mempelajari bahasa dengan menggunakan perisian-perisian komputer. Banyak kajian telah dijalankan untuk meneliti kesesuaian penggunakan komputer dalam pembelajaran bahasa dan banyak syarikat multimedia telah membangunkan pelbagai perisian untuk tujuan ini. Dalam kuliah ini, maklumat mengenai perisian-perisian ini dan faedah mereka dalam pembelajaran bahasa telah disampaikan. Selain itu, perisian-perisian ini juga diharap mampu membantu pelajar dalam merancang strategi dan teknik pembelajaran mereka.

  • Pernyataan Masalah Penyelidikan

Oleh kerana blog WordPress untuk kursus SKBL2113 Aplikasi Komputer dalam Kajian Linguistik disampaikan menggunakan format tesis, pelajar perlu membiasakan diri dengan komponen-komponen yang terdapat dalam tesis untuk menyediakan blog mereka dengan baik. Kuliah ini menerangkan mengenai cara menulis permasalahan kajian yang tepat dan jelas. Permasalahan kajian perlu ditulis dengan betul kerana keseluruhan kajian itu akan dilakukan berasaskan penyataan masalah. Jadi, kuliah ini dapat memberikan maklumat yang relevan berkenaan cara-cara membina masalah kajian, bermula daripada tajuk kajian hingga sumbangan kajian itu kepada masyarakat.

  • Using Corpora in Linguistics

Topik utama kuliah ini adalah Linguistik Korpus. Seperti yang telah diterangkan di atas, korpus ialah kajian berdasarkan teks. Jadi, linguistik korpus adalah kajian saintifik mengenai kandungan teks tersebut, sama ada perkataan di dalamnya, struktur ayat, atau makna denotasi dan konotasi dalam teks tersebut. Linguistik korpus dibincangkan secara menyeluruh dalam kuliah ini.Untuk menjalankan kajian linguistik korpus, perisian kumputer iaitu concordance perlu digunakan. Salah satu contoh perisisan concordance ialah AntConc. Dengan menggunakan AntConc, data-data dalam korpus dapat diteliti dan dianalisis dengan lebih mudah dah lengkap, selain daripada mengurangkan ruang untuk berlakunya kesilapan dalam analisis.

  • Language Learning with Technology

Kuliah ini adalah lanjutan umum kepada CALL yang telah dibincangkan pada kuliah terdahulu. Kuliah ini menerangkan secara ringkas tentang teknologi dalam pembelajaran bahasa . Ia menunjukan sejarah dan peranan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah. Selain itu, nota ini juga membincangkan bagaiman CALL boleh diamalkan secara praktikal dan berkesan dalam bilik darjah, serta kesan positif dan negatif CALL jika digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa.

Semua nota-nota untuk kuliah boleh dimuat turun di laman iFolio kursus ini. Tetapi, hanya pelajar yang mendaftar untuk kursus SKBL2113 Aplikasi Komputer dalam Kajian Linguistik sahaja yang boleh mengakses laman tersebut.

Lampiran

Rujukan

Raja Masittah Raja Ariffin dan Siti Saniah Abu Bakar (2012). Isu dan cabaran dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu untuk penutur asing : perspektif pelajar. In: Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Korea: Isu, Cabaran dan Cadangan. Hankuk University of Foreign Studies Press, Seoul, Korea.

Nik Mohd Rahimi, Harun Baharudin, Ghazali Yusri, Kamarul Shukri Mat Teh, dan Mohamed Amin Embi(2010). Pembelajaran Konsonan Arab Mengikut Pelat Bahasa Melayu. GEMA Online Journal, UKM.

http://accent.gmu.edu/browse.php

Kesimpulan

5.1 Pengenalan

Dalam bab ini, segala maklumat yang telah diperolehi berdasarkan analisis kajian akan diteliti semula untuk melihat jika ada sebarang masalah dengan kajian yang telah dijalankan. Selain itu, berdasarkan pengalaman yang dikumpul semasa kajian ini dijalankan, bab ini juga akan memberikan beberapa cadangan untuk melakukan penambahanbaikan terhadap kajian ini. Diharap dengan adanya maklumat di dalam bab ini, sebarang kajian yang dilakukan di masa hadapan yang berasaskan kajian ini akan dapat dijalankan dengan lebih baik dan sistematik.

5.2 Perbincangan

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, didapati penutur jati Bahasa Melayu tidak mampu untuk menghasilkan sebutan Bahasa Korea yang sama dengan penutur jati Bahasa Korea. Ini disebabkan penutur jati sesuatu bahasa telah dipengaruhi secara kuat oleh sistem fonologi bahasa tersebut hingga mereka tidak mampu untuk menguasai sistem fonologi bahasa lain dengan sepenuhnya. Nik Mohd Rahimi, et al (2010). Dalam kajian ini, banyak perkataan-perkataan Bahasa Korea yang disebut oleh penutur jati Bahasa Melayu mempunyai pelat Bahasa Melayu yang tidak seharusnya wujud ketika menghasilkan sebutan dalam Bahasa Korea. Perbezaan di antara sistem fonologi kedua-dua bahasa adalah sangat besar dan sukar untuk penutur Bahasa Melayu untuk menyingkirkan semua fitur yang ada dalam fonologi Bahasa Melayu semasa membuat sebutan Bahasa Korea.

5.3 Cadangan

Kajian ini hanyalah sekadar  kajian umu sahaja. Ia menggunakan  metodologi yang ringkas dan sampel responden kajian yang kecil. Oleh itu, dapatan kajian ini, walaupun cukup untuk kursus SKBL2113 Aplikasi Komputer dalam Kajian Linguistik, masih belum cukup untuk dijadikan rujukan ilmiah yang baik. Untuk kajian akan datang, banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk menjadikan kajian ini lebih sempurna, seterusnya boleh digunakan sebagai rujukan ilmiah untuk penulisan tesis dan jurnal dalam kajian-kajian lain.

Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah:

  1. Menukar kaedah kajian daripada merakam bacaan penutur kepada merakam perbualan harian penutur. Kaedah ini akan memberi gambaran yang lebih tepat tentang perbezaan sebutan di antara penutur jati Bahasa Korea dengan penutur bukan jati.
  2. Merakam perbualan penutur lebih daripada 1 kali. Seeloknya rakaman dibuat sebanyak 5-10 kali, dan dilakukan dalam pelbagai situasi kehidupan yang berbeza. Kaedah ini akan memberi lebih banyak maklumat tentang sebutan dan seterusnya boleh mendapatkan data kajian yang lebih menyeluruh.
  3. Meluaskan sampel responden kajian dengan menambah lebih banyak responden bagi kedua-dua kategori (penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati Bahasa Korea yang merupakan penutur jati Bahasa Melayu). Dengan adanya lebih ramai responden, dapatan kajian akan menjadi lebih tepat kerana jika hanya seorang responden sahaja dipilih, banyak faktor peribada responden itu yang akan mempengaruhi data kajian dan seterusnya mengkaburi dapatan kajian.

5.4 Kesimpulan

Kajian ini telah berjaya meneliti secara umum tentang perbezaan sebutan Bahasa Korea di antara penutur jati dan penutur bukan jati. Data yang telah dikumpul telah dianalisis dan dapatan kajian telah dipersembahankan di dalam laman WordPress ini untuk dilihat dan dinilai oleh pelbagai pihak. Diharapkan dengan wujudnyanya kajian ini, ia akan menjadi inspirasi kepada kajian-kajian di masa hadapan untuk meneliti dengan lebih mendalam lagi mengenai topik perbezaan sebutan sesuatu bahasa di antar penutur jati dan penutur bukan jati.

Hasil Kajian

4.1 Pengenalan

Dalam bab ini, data yang telah dikumpul menggunakan kaedah kajian yang telah diterangkan dalam Bab 3 akan dianalisis menggunakan perisian dan laman web yang juga telah dimaklumkan dalam Bab 3.

4.2 Data Kajian

Untuk rakaman bacaan kedua-dua responden, teks Bahasa Korea yang berikut digunakan:

제 이름은 매리입니다. 저는 스물둘살입니다. 저는 대학생입니다. 서울대학교에서 경영학을 공부입니다. 제 취미늘 소설 읽기, 인터넷 서핑 그리고 야구 입니다. 저의 목표는 여성 경영인이 되는 것입니다.

Bagi mereka yang tidak tahu membaca Hangeul (abjad tulisan Bahasa Korea), berikut merukan versi yang telah diromawikan (ditukar ke tulisa rumi untuk memudahkan pembacaan).

Che ireum-eun maeri-ibnida. Cheoneun seumuldulsal-ibnida. Cheoneun daehagsaeng-ibnida. Seouldaehaggyoeseo gyeong-yeonghag-eul gongbu-ibnida. Che chwimineul soseol ilg-gi, Inteonet seoping geurigo yagu ibnida. Ceo-ui mogpyo-neun yeoseong gyeong-yeong-in-i doe-neun geot-sibnida.

Terjemahan teks di atas dalam Bahasa Inggeris:

My name is Mary. I am a twenty two years old. I am a university student studying business administration at the University of Seoul. My hobby is reading, surfing the Internet and playing baseball. My ambition is to be a business administrator.

Terjemahan teks di atas dalam Bahasa Melayu:

Nama saya Maria. Saya berumur dua puluh dua tahun. Saya ialah seorang pelajar universiti dalam jurusan pentadbiran perniagaan di Universiti Seoul. Hobi saya adalah membaca, melayari Internet dan bermain bula kisut. Cita-cita saya adalah untuk menjadi pentadbir perniagaan.

Teks ini telah dibaca oleh kedua-dua responden. Bacaan penutur jati Bahasa Korea adalah seperti di bawah:

Bacaan penutur bukan jati Bahasa Korea (penutur jati Bahasa Melayu) pula adalah seperti berikut:

4.3 Analisis Data Kajian

Transkripsi fonetik bagi kedua-dua hasil rakaman di atas telah dilakukan untuk tujuan analisis. Berikut merupakan hasil transkripsi fonetik penutur jati Bahasa Korea:

/tʃɛ ɪrəmən mæri ɪbnɪdɑ. tʃɔnən səmuldulsɑl ɪbnɪdɑ. tʃɔnən dæhɑgsæŋ ɪbnɪdɑ. sɔul dæhɑggyo ɛsɔ gjɔŋjɔŋhɑgəl goŋbuɪbnɪdɑ. tʃɛ tʃwɪmɪnəl sosɔl ɪlgi, ɪntɔnɛt sɔpɪŋ gərɪgo jɑgu ɪbnɪdɑ. tʃɔui mogpyonən jɔsɔŋ gjɔŋjɔŋɪn i dɔnən gɔtsɪbnɪdɑ./

Manakala berikut pula merupakan sebutan penutur bukan jati Bahasa Korea (penutur jati Bahasa Melayu):

/tʃɛ ɪrəmən mɛri ɪbnɪdɑ. tʃonən səmuldulsɑl ɪbnɪdɑ. tʃonən dɛhɑgsɛŋ ɪbnɪdɑ. soul dɛhɑggyo ɛso gjoŋjoŋhɑgəl goŋbuɪbnɪdɑ. tʃɛ tʃwɪmɪnəl sosol ɪlgi, ɪntənɛt səfɪŋ gərɪgo jɑgu ɪbnɪdɑ. tʃoui mogpyonən josoŋ gjoŋjoŋɪn i donən gotsɪbnɪdɑ./

Berdasarkan transkripsi fonetik di atas, beberapa pemerhatian telah dapat dilakukan. Pemerhatian-pemerhatian berkenaan adalah:

  1. Berbeza dengan penutur jati Bahasa Korea, penutur jati Bahasa Melayu tidak mampu menghasilkan bunyi vokal [ɔ]. Terdapat banyak perkataan dalam Bahasa Korea yang menggunakan bunyi [ɔ], dan bunyi ini berbeza dengan bunyi vokal [o]. Oleh kerana hanya bunyi [o] sahaja yang wujud dalam sistem bunyi Bahasa Melayu dan bunyi [ɔ] tidak wujud, penutur jati Bahasa Melayu akan cenderung untuk mengubah sebutan bunyi [ɔ] menjadi [o].
  2. Satu lagi bunyi vokal yang tidak wujud dalam sistem bunyi Bahasa Melayu ialah bunyi vokal [æ]. Bunyi ini berbeza dengan bunyi vokal [ɛ]. Oleh kerana hanya bunyi [ɛ] sahaja yang wujud dalam sistem bunyi Bahasa Melayu dan bunyi [æ] tidak wujud, penutur jati Bahasa Melayu akan cenderung untuk mengubah sebutan bunyi [æ] menjadi [ɛ].
  3. Penutur jati Bahasa Melayu tidak mempunyai masalah dalam menyebut perkataan “Internet” (/ɪntənɛt/) seperti biasa. Akan tetapi, sebutan perkataan ini berbeza bagi penutur jati Bahasa Korea. Sekiranya konsonan [r] berada di hujung sukukata selepas vokal [ɛ], bunyi sukukata tersebut berubah daripada [ɛ] menjadi [ɔ]. Oleh yang demikian, sebutan perkataan “Internet” berubah daripada /ɪntənɛt/ menjadi /ɪntɔnɛt/. Fenomena ini kerap berlaku kepada perkataan yang dipinjam daripada Bahasa Inggeris, seperti “hyper” (/ˈhɑɪpɔ/), “Superman” (/suːpɔmɛn/), dan “Terminator” (/tɔmɪneɪtɔ/)

4.4 Kesimpulan

Berdasarkan analisis yang telah dilakukan terhadap data yang diperolehi, jelas terdapat perbezaan di antara sebutan penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati Bahasa Korea. Hal ini adalah kerana sebutan seseorang itu dipengaruhi oleh sistem bunyi bahasa ibunda mereka. Hanya bunyi-bunyi yang terdapat dalam sistem bunyi bahasa mereka sahaja yang boleh disebut oleh mereka. Bunyi yang tida wujuk pula akan digantikan dengan bunyi yang paling hampir dengan bunyi yang tidak wujud tadi. Dalam Bab 5, sedikit perbincangan dan cadanga akan diberikan untuk memperbaiki kajian ini di masa hadapan.

 

Metodologi Kajian

3.1 Pengenalan

Tujuan metodologi penyelidikan digunakan adalah untuk memperolehi data yang bersesuaian dengan supaya kajian ini dapat diteruskan ke langkah yang seterusnya. Bab ini akan menerangkan tentang pihak yang akan dikaji, iaitu responden kajian; kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data kajian daripada reponden seperti soal selidik, temubual, pemerhatian dan sebagainya; dan cara untuk menganalisis data yang diperolehi daripada reponden tadi, iaitu dengan menggunakan laman web dan perisian yang bersesuaian seperti SoundCloud, SurveryMonkey, AntConc dan sebagainya. Untuk kajian ini, data yang ingin diperolehi adalah sebutan bahasa Korea oleh kedua-dua responden.

3.2 Pemilihan alat kajian

Oleh kerana kajian ini bersifat kualitatif, di mana melibatkan jumlah responden yang sedikit – sekadar 2 orang. Alat kajian yang akan digunakan ialah temubual, soal selidik dan perbandingan antara sebutan penutur jati bahasa Korea dengan sebutan penutur bukan jati.

Temubual digunakan untuk mendapatkan data-data sebutan daripada kedua-dua responden. 2 orang responden ini memiliki latar belakang yang berbeza. Responden pertama ialah seorang pelajar berusia 23 tahun dari Chonnam National University yang sedang menyertai program pertukaran pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik. Beliau ialah penutur jati Bahasa Korea. Responden kedua pula ialah seorang pelajar berusia 21 dari Universiti Putra Malaysia yang telah menyertai program pertukaran pelajar di Chonnam National University pada tahun 2013.  Beliau adalah penutur jati Bahasa Melayu dan tidak pernah mempelajari Bahasa Korea sebelum menyertai program pertukaran pelajar berkenaan. Untuk memperolehi data daripada kedua-dua responden, mereka akan diberikan sebuah teks dalam bahasa Korea. Mereka akan membaca teks berkenaan dan bacaan mereka akan dirakam dengar menggunakan perakam audio. Seterusnya, rakaman audio tadi akan dimuatnaik ke laman pengurusan audio SoundCloud. Pautan kepada audio tadi akan diletakkan di laman blog WordPress. Proses ini dilakukan kerana WordPress mempunyai kebolehadaptasian yang tinggi untuk menyokong sebarang pautan audio dari SoundCloud.

Seterusnya, rakaman audio tadi akan ditranskripsikan dan dimuatnaik ke laman blog WordPress. Untuk proses transkripsi fonetik, carta IPA bahasa Korea dari Speech Accent Archive – George Mason University akan digunakan sebagai rujukan. Dengan adanya transkripsi fonetik ini, proses mengenalpasti perbezaan sebutan antara penutur jati Bahasa Korea dengan penutur tidak jati boleh dilakukan. Untuk memudahkan pelawat blog WordPress memahami kajian, salinan asal teks yang dibaca oleh kedua-dua respondan juga akan dimuat naik ke blog WordPress. 3 variasi teks tersebut akan dimuat naik, iaitu:

1) Teks asal dalam bahasa Korea

2) Versi romawi kepada teks asal bahasa Korea

3) Terjemahan teks dalam Bahasa Melayu.

gmu

“Speech Accent Archive” yang diselia oleh George Mason University

Soal selidik digunakan untuk memperkukuhkan kesahihan dan kebolehpercayaan data-data yang diperoleh daripada kedua-dua responden. Soal selidik yang akan digunakan mengandungi 10 soalan dan dibuat menggunakan laman soal selidik atas talian SurveyMonkey. SurveyMonkey digunakan supaya responden boleh melengkapkan borang soal selidik secara atas talian, yang mana cara ini lebih mudah dan efektif untuk mengumpul data soal selidik.

3.3 Prosedur pengumpulan data

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah rakaman sebutan, soal selidik, dan set perbandingan antara bahasa Korea dan bahasa Melayu.

  1. Rakaman
  • Responden akan membaca teks yang telah disediakan.
  • Bacaan daripada responden akan dirakam menggunakan perakam audio.
  • Rakaman tersebut akan dirujuk untuk membuat transkrip teks.
  • Selepas transkrip teks dibuat, ia akan dipaparkan di laman blog.
  • Selain transkripsi teks, teks-teks yang akan dipaparkan di blog adalah:
  • Teks asal dalam bahasa Korea
  • Versi romawi kepada teks asal bahasa Korea
  • Terjemahan teks dalam Bahasa Melayu.
  1. Soal Selidik.
  • Satu set borang soal selidik akan dibuat menggunakan SurveyMonkey.
  • Soal selidik tersebut adalah berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci daripada responden supaya identiti kedua-dua responden dan kebolehpercayaan mereka dalam kajian ini dapat disahihkan.
  • Setelah responden-responden menjawab soal selidik, jawapan mereka akan dikumpul dan kemudian dikaji.
  1. Set Perbandingan
  • Carta IPA bahasa Korea dan bahasa Melayu akan digunakan.
  • Sebutan kedua-dua responden akan dirujuk kepada carta IPA ini.
  • Sebarang perbezaan yang wujud di antara sebutan kedua-dua responden akan diambil kira untuk tujuan analisis.

3.4 Prosedur analisis data

Bacaan responden akan dirakam menggunakan perakam suara. Sekiranya perlu, rakam berkenaan akan diedit dengan menggunakan perisian Audacity. Rakaman audio yang telah siap diedit akan dimuatnaik ke laman web SoundCloud sebelum dipaparkan di laman blog WordPress.  Transkripsi fonetik untuk rakaman berkenaan akan dibuat, satu untuk sebutan penutur jati bahasa Korea dan satu lagi untuk penutur bukan jati. Kemudian, kedua-dua transkripsi ini akan dibandingkan dan sebarang perbezaan yang dapat dilihat akan diambil kira untuk tujuan analisis. Selain transkripsi teks, teks-teks yang akan dipaparkan di blog adalah:

  • Teks asal dalam bahasa Korea
  • Versi romawi kepada teks asal bahasa Korea
  • Terjemahan teks dalam Bahasa Melayu.

Ini adalah untuk memudahkan pelawat yang tidak tahu membaca sistem tulisan Hangul dan transkripsi fonetik supaya mereka boleh membaca dan memahami teks yang telah dipaparkan.

3.5 Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kajian ini memerlukan penggunaan alat yang bersesuaian dengan tajuk yang ingin dikaji.  Penggunaan kaedah kajian yang bersesuaian amat penting agar hasil kajian yang diperolehi selaras dengan objektif dan soalan kajin. Ia juga penting supaya kesahihan kajian tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak lain. Selain itu, pemilihan responden yang tepat akan memudahkan proses melakukan kajian. Pemilihan metodologi dan responden kajian adalah suatu aspek yang perlu diberi perhatian khusus kerana kedua-dua faktor ini merupakan elemen utama yang akan menentukan sama ada kajian ini berjaya atau tidak. Dalam Bab 4, semua data yang telah diperolehi menggunakan metodologi ini akan dianalisis dengan teliti.

Kajian Literatur

2.1 Pengenalan

Dalam Bab 2, sedikit maklumat yang berkaitan dengan kajian ini akan diterangkan. Untuk kajian in, maklumat-maklumat yang relevan adalah tentang fonem-fonem yang tedapat dalam Bahasa Korea dan Bahasa Melayu.

2.2 Umum

Tiada kajian lampau yang telah dijalankan untuk meneliti perbezaan sebutan Bahasa Korea di antar penutur jati dan penutur bukan jati. Akan tetapi, ada beberapa kajian lampau yang telah memberi fokus kepada aspek-aspek yang berkaitan dengan kajian ini dan boleh dijadikan rujukan untuk kajian ini.

Raja Masittah Raja Ariffin and Siti Saniah Abu Bakar (2012) telah mengkaji isu-isu dan cabaran-cabaran yang dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu untuk penutur asing menurut perspektif pelajar. Mereka melihat bagaimana penutur bukan jati Bahasa Melayu di Fakulti Pengajian Asia Timur di Hankuk University, Korea mempelajari Bahasa Melayu serta memfokuskan kepada sebarang masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini. Kajian ini mendapati pelajar dari Korea tidak mempunyai masalah besar dalam memperlajari Bahasa Melayu, tetapi mereka tidak mampu menghasilkan sebutan seperti penutur jati Bahasa Melayu.

Satu lagi kajian yang berkaitan dengan kajian ini ialah Nik Mohd Rahimi, Harun Baharudin, Ghazali Yusri, Kamarul Shukri Mat Teh, dan Mohamed Amin Embi (2010). Mereka mengkaji mengenai sebutan Bahasa Arab oleh penutur jati Bahasa Melayu dan membandingkannya dengan sebutan penutur jati Bahasa Arab. Kajian ini menyimpulkan bahawa terdapat banyak pengaruh pelat Bahasa Melayu yang menyebabkan penutur jati Bahasa Melayu tidak dapat menghasilkan sebutan Bahasa Arab seperti penutur jati Bahasa Arab.

2.3 Khusus

Oleh kerana tiada kajian khusus yang memfokuskan kepada perbezaan sebutan Bahasa Korea di antar penutur jati dan penutur bukan jati, kajian ini sangat perlu dilakukan. Untuk melakukan kajian ini, data-data sistem sebutan bahasa kedua-dua bahasa, iaitu Bahasa Korea dan Bahasa Melayu perlu diteliti dengan terperinci.

Terdapat beberapa fonem dalam Bahasa Korea yang tidak wujud dalam Bahasa Melayu. Begitu juga sebaliknya, terdapat beberapa fonem dalam Bahasa Melayu yang tidak wujud dalam Bahasa Korea.

Fonem-fonem dalam Bahasa Korea.

koreanipacons

konsonan

koreanipavowels

vokal

Fonem-fonem dalam Bahasa Melayu.

malayipacons

konsonan

malayipavowels

vokal

Sumber: http://accent.gmu.edu/browse.php

2.4 Kesimpulan

Dengan ketiadaan kajian perbezaan sebutan Bahasa Korea di antar penutur jati dan penutur bukan jati, kajian ini sangat penting untuk dijalankan supaya perbezaan-perbezaan yang ada boleh diteliti. Dalam  Bab 3, kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengumpul dan menganalisis data akan diterangkan secara jelas dan terperinci.

 

Pengenalan

1.1 Pengenalan

Kajian ini akan membincangkan mengenai kajian sebutan Bahasa Korea di antara penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati, iaitu seorang penutur jati Bahasa Melayu. Kajian ini akan memberi fokus kepada perbezaan di antara kedua-dua penutur ini untuk mengenalpasti perbezaan antara bunyi sebutan penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati berdasarkan carta IPA yang digunakan secara meluas di dalam kajian sebutan bahasa. Untuk melakukan kajian ini, data akan dikumpul dari responden yang telah dipilih dan akan dianalisis menggunakan perisian-perisian yang bersesuaian.

Sejarah Bahasa Korea

Hangugeo-Chosonmal

“Hangugeo” (kiri) dan “Choseonmal”, nama yang digunakan untuk mewakili bahasa Korea

Bahasa Korea (Bahasa Inggeris: Korean; Bahasa Korea; 한국어[Hangugeo]) ialah bahasa rasmi untuk negara Korea Selatan dan Korea Utara, dan juga digunakan secara meluas di China dan Jepun. Bahasa Korea mempunyai lebih kurang 80 juta penutur di seluruh dunia. Bahasa ini merupakan salah satu bahasa paling utama di Asia Timur, selain bahasa Inggeris, Jepun, dan Cina.

Sejarah Bahasa Korea terdiri daripada 4 fasa:

 

  • Sebelum kurun pertama: Bahasa Proto-Korea
  • Kurun pertama hingga ke-10: Bahasa Korea Lama
  • Kurun ke-10 hingga ke-16: Bahasa Korea Pertengahan
  • Kurun ke-17 hingga kini: Bahasa Korea Moden

Tidak banyak maklumat yang ada tentang bahasa Proto-Korea, melainkan pakar bahasa masih membahaskan tentang asal usul bahasa ini. Ramai pakar bahasa menggolongkan bahasa Proto-Korea di dalam keluarga bahasa Altaic, yang terdiri daripada bahasa-bahasa yang digunakan di Eropah Timur, Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Timur.

Bahasa Korea Lama digunakan dari kurun pertama hingga kurun ke-10.  Sesetengah pakar mengkelaskan bahasa ini sebagai bahasa tona (tonal language). Bahasa Korea Lama menggunakan sistem tulisan yang dikenal sebagai Idu.

IMG-20140413-WA0001

Tugu 세종대왕 (Sejong Daewang) atau Sejong Yang Agung (Sejong the Great)

Sejajar dengan permulaan Dinasti Goryeo dan seterusnya perpindahan pusat pentadbiran ke kawasan utara semenanjung Korea, bahasa Korea Lama telah berubah menjad bahasa Korea Pertengahan. Bahasa Kore Pertengahan telah memperkenalkan Hangul, sistem tulisan baru untuk menggantikan Idu. Hangul diperkenalkan oleh Maharaja Sejong pada tahun 1443 dan masih lagi digunakan secara rasmi pada hari ini. Hangul merupakan sebuah sistem tulisan yang sangat bersistematik dan tersusun. Berbeza dengan bahasa Proto-Korea dan Korea Lama, banyak karya sastera telah dihasilkan menggunakan bahasa Korea Pertengahan. Fakta ini menyebabkan proses kajian terhadapa bahasa Korea Pertengahan lebih mudah dijalankan.

Bahasa Korea Moden wujud kerana berlakunya perang Korea dan pemisahan antara Korea Utara dan Korea Selatan. Ini telah menyebabkan wujudnya dua jenis utama bahasa Korea: Dialek utara dan dialek selanatn. Antara perbezaan yang wujud di antara dialek ini ialah variasi dalam sebutan, penggunaan kata kerja dan kosa kata.

mapCorée_450px

Peta Korea: Korea Utara dan Korea Selatan

1.2 Pernyataan masalah

Sistem sebutan Bahasa Korea dan sistem sebutan Bahasa Melayu mempunyai banyak perbezaan. Terdapat fonem yang wujud dalam Bahasa Korea yang tiada dalam Bahasa Melayu dan juga sebaliknya. Oleh yang demikian, seorang penutur jati Bahasa Melayu tidak akan mampu untuk menghasilkan sebutan Bahasa Korea yang seratus peratus sama seperti penutur jati Bahasa Korea. Kajian ini akan melihat sejauh mana perbezaan sebutan Bahasa Korea di antara penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati, iaitu seorang penutur jati Bahasa Melayu.

 

1.3 Objektif kajian

1.3.1 Mengenalpasti perbezaan sebutan Bahasa Korea di antara penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati, iaitu penutur jati Bahasa Melayu.

1.3.2 Mengelaskan perbezaan bunyi-bunyi sebutan tersebut kepada kelas-kelas fonem yang sesuai.

1.3.3 Menerangkan perbezaan fonem-fonem yang terdapat dalam Bahasa Korea dan Bahasa Melayu.

1.4 Soalan kajian

1.4.1 Apakah perbezaan yang terdapat dalam sebutan Bahasa Korea di antara penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati, iaitu penutur jati Bahasa Melayu?

1.4.2 Apakah kelas perbezaan bunyi-bunyi sebutan Bahasa Korea dan Bahasa Melayu?

1.4.3 Bagaimanakah fonem-fonem yang terdapat dalam Bahasa Korea berbeza dengan fonem-fonem yang terdapat dalam Bahasa Melayu?

 

1.5 Skop kajian

Kajian ini dilakukan dengan memilih 2 responden. Responden pertama ialah seorang pelajar Chonnam National University yang menyertai program pertukaran pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau ialah penutur jati Bahasa Korea. Responden kedua pula ialah seorang pelajar Universiti Pura Malaysia yang telah menyertai program pertukaran pelajar di Chonnam National University pada tahun 2013.  Beliau adalah penutur jati Bahasa Melayu dan tidak pernah mempelajari Bahasa Korea sebelum menyertai program pertukaran pelajar berkenaan.

 

Logo UPM-CNU

Dua universiti di mana responden pertama dan kedua sedang melanjutkan pelajaran

1.6 Kesimpulan

Kajian ini adalah sebuah kajian di bawah bidang fonetik, di mana objektif utama kajian ini adalah untuk meneliti perbezaan sebutan Bahasa Korea di antara penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati, iaitu seorang penutur jati Bahasa Melayu. Dalam Bab 2, sedikit penerangan tentang maklumat yang berkaitan dengan kajian ini akan diberikan.