Kesimpulan

5.1 Pengenalan

Dalam bab ini, segala maklumat yang telah diperolehi berdasarkan analisis kajian akan diteliti semula untuk melihat jika ada sebarang masalah dengan kajian yang telah dijalankan. Selain itu, berdasarkan pengalaman yang dikumpul semasa kajian ini dijalankan, bab ini juga akan memberikan beberapa cadangan untuk melakukan penambahanbaikan terhadap kajian ini. Diharap dengan adanya maklumat di dalam bab ini, sebarang kajian yang dilakukan di masa hadapan yang berasaskan kajian ini akan dapat dijalankan dengan lebih baik dan sistematik.

5.2 Perbincangan

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, didapati penutur jati Bahasa Melayu tidak mampu untuk menghasilkan sebutan Bahasa Korea yang sama dengan penutur jati Bahasa Korea. Ini disebabkan penutur jati sesuatu bahasa telah dipengaruhi secara kuat oleh sistem fonologi bahasa tersebut hingga mereka tidak mampu untuk menguasai sistem fonologi bahasa lain dengan sepenuhnya. Nik Mohd Rahimi, et al (2010). Dalam kajian ini, banyak perkataan-perkataan Bahasa Korea yang disebut oleh penutur jati Bahasa Melayu mempunyai pelat Bahasa Melayu yang tidak seharusnya wujud ketika menghasilkan sebutan dalam Bahasa Korea. Perbezaan di antara sistem fonologi kedua-dua bahasa adalah sangat besar dan sukar untuk penutur Bahasa Melayu untuk menyingkirkan semua fitur yang ada dalam fonologi Bahasa Melayu semasa membuat sebutan Bahasa Korea.

5.3 Cadangan

Kajian ini hanyalah sekadar  kajian umu sahaja. Ia menggunakan  metodologi yang ringkas dan sampel responden kajian yang kecil. Oleh itu, dapatan kajian ini, walaupun cukup untuk kursus SKBL2113 Aplikasi Komputer dalam Kajian Linguistik, masih belum cukup untuk dijadikan rujukan ilmiah yang baik. Untuk kajian akan datang, banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk menjadikan kajian ini lebih sempurna, seterusnya boleh digunakan sebagai rujukan ilmiah untuk penulisan tesis dan jurnal dalam kajian-kajian lain.

Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah:

  1. Menukar kaedah kajian daripada merakam bacaan penutur kepada merakam perbualan harian penutur. Kaedah ini akan memberi gambaran yang lebih tepat tentang perbezaan sebutan di antara penutur jati Bahasa Korea dengan penutur bukan jati.
  2. Merakam perbualan penutur lebih daripada 1 kali. Seeloknya rakaman dibuat sebanyak 5-10 kali, dan dilakukan dalam pelbagai situasi kehidupan yang berbeza. Kaedah ini akan memberi lebih banyak maklumat tentang sebutan dan seterusnya boleh mendapatkan data kajian yang lebih menyeluruh.
  3. Meluaskan sampel responden kajian dengan menambah lebih banyak responden bagi kedua-dua kategori (penutur jati Bahasa Korea dan penutur bukan jati Bahasa Korea yang merupakan penutur jati Bahasa Melayu). Dengan adanya lebih ramai responden, dapatan kajian akan menjadi lebih tepat kerana jika hanya seorang responden sahaja dipilih, banyak faktor peribada responden itu yang akan mempengaruhi data kajian dan seterusnya mengkaburi dapatan kajian.

5.4 Kesimpulan

Kajian ini telah berjaya meneliti secara umum tentang perbezaan sebutan Bahasa Korea di antara penutur jati dan penutur bukan jati. Data yang telah dikumpul telah dianalisis dan dapatan kajian telah dipersembahankan di dalam laman WordPress ini untuk dilihat dan dinilai oleh pelbagai pihak. Diharapkan dengan wujudnyanya kajian ini, ia akan menjadi inspirasi kepada kajian-kajian di masa hadapan untuk meneliti dengan lebih mendalam lagi mengenai topik perbezaan sebutan sesuatu bahasa di antar penutur jati dan penutur bukan jati.